EMGS Rancang Jadikan Sabah, Sarawak Dan Kalimantan Hab Pendidikan Tinggi

Dr-Abdul-Razak-Ahmad.jpg
Kongsi Bersama

JAKARTA: Education Malaysia Global Services (EMGS) merancang untuk menjadikan Sabah, Sarawak dan Kalimantan di Indonesia sebagai hab pendidikan tinggi, kata pengerusinya, Dr Abdul Razak Ahmad (gambar).

Beliau berkata, EMGS bukan sahaja berminat membawa pelajar Indonesia ke Malaysia tetapi turut mempromosikan pelajar Malaysia untuk belajar di Indonesia.

“Kita juga mahu universiti di Indonesia beroperasi di Malaysia agar aspek perniagaan, ekonomi dan perdagangan negara ekonomi keempat terbesar di dunia dan sebagainya dapat dipelajari.

“Sebenarnya sangat pelik jika Indonesia tidak mempunyai universiti di Malaysia. Justeru, kehadiran universiti-universiti itu nanti akan membolehkan pelajar kita memahami betapa pentingnya Indonesia,” katanya kepada pemberita.

Abdul Razak berada di sini sempena lawatan kerja tiga hari Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke Indonesia berakhir semalam.

EMGS, sebagai organisasi yang menguruskan pergerakan pelajar antarabangsa di Malaysia, berusaha menarik pelajar di Kalimantan dan Sulawesi, Indonesia untuk menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama.

Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk EMGS melihat potensi di kedua-dua kawasan yang jaraknya lebih dekat dengan Sabah dan Sarawak tetapi halangan terbesar adalah tiada kesalinghubungan (connectivity).

“Kita telah mulakan siri rundingan dengan beberapa syarikat penerbangan tambang rendah untuk mewujudkan ‘connectivity’ antara Kalimantan ke Sabah dan Sarawak,” katanya.– BERNAMA

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top