Ekonomi Sabah Diharap Terus Pulih Dan Berkembang Tahun Ini

Joachim-Karnival.jpg

Kredit foto: FB Dr Joachim Gunsalam

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berharap agar ekonomi Sabah akan terus pulih dan berkembang pada tahun ini setelah sekian lama terkesan oleh pandemik Covid-19.

Katanya, pandemik itu telah melumpuhkan sistem ekonomi dunia dan Sabah juga tidak terkecuali.

“Ini juga menyebabkan Karnival Tahun Baharu Cina ditiadakan pada tahun 2020 dan 2021. Kita bersyukur, tahun ini merupakan tahun kedua sambutan karnival ini selepas ia diadakan pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika merasmikan penutupan Karnival Tahun Baharu Cina yang diadakan di Lintasan Deasoka di sini kelmarin.

Karnival yang berlangsung daripada 15 Jan ini dianjurkan bersama oleh Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Presiden FCAS, Tan Sri T.C Goh yang telah menganjurkan karnival itu selain sentiasa mengadakan aktiviti amal dan kemasyarakatan.

“Syabas dan tahniah juga diucapkan serta ahli jawatankuasa (AJK) pelaksana dan pihak DBKK yang menjayakan karnival ini,” katanya.

Karnival Tahun Baharu Cina itu diadakan bertujuan untuk memupuk dan mempamerkan kebudayaan Cina menjelang Tahun Baharu Cina.

Dr. Joachim berkata, karnival itu juga boleh menjadi daya tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar negara, sekali gus mempromosikan keunikan Malaysia khususnya di Sabah.

“Karnival ini terbuka kepada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan latar belakang. Saya difahamkan pelbagai acara menarik telah diadakan sebagai pengisian karnival seperti persembahan-persembahan yang diadakan selain gerai-gerai menjual makanan dan lain-lain keperluan,” ujarnya.

Tambah beliau, menurut kalendar Cina tahun ini merupakan Tahun Arnab, yang merupakan haiwan yang disayangi serta memiliki sifat tenang yang mencerminkan keharmonian, kesejahteraan serta perpaduan rakyat di negeri ini.

Turut hadir, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip, Timbalan Presiden FCAS, Datuk Susan Wong dan ADUN Likas, Tan Lee Fatt.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top