KOTA KINABALU: Ketua Pemuda PBRS Pusat Dr Edwin Laimin membidas perumpamaan ‘Ukur baju di badan sendiri’ yang digunakan oleh seorang penganalisis politik seperti yang disiarkan di dalam sebuah portal atas talian bertarikh 6 Mei 2022.
Secara bersoloroh Dr Edwin memberitahu tidak ada istilah ‘ukur baju di badan sendiri’ dalam keadaan sekarang dimana terdapat keperluan lain yang lebih serius iaitu untuk menjamin kestabilan politik dan fokus ke arah menyelesaikan permasalahan rakyat yang sudah banyak tertangguh.
“Dalam politik di lapangan, tidak ada istilah ukur baju, yang penting ada baju untuk dipakai”, ujar beliau.
Dr Edwin menjelaskan semenjak pru14 lalu, PBRS konsisten mengambil sikap memerhati dan kekal menjalankan usaha mendekati serta membantu rakyat akar umbi di Sabah dan sebab itulah penerimaan terhadap PBRS telah semakin meluas.
Mengikut rekod parti itu semenjak Mac 2021 hingga Mac 2022 PBRS mencatatkan kemasukan ahli baru yang ramai dimana bagi Pensiangan, Keningau, Papar, Penampang, Tuaran dan Ranau sahaja telah merekodkan kemasukan ahli baru berjumlah 56,334 orang.
Perkembangan tersebut menurut Dr Edwin jelas membuktikan keyakinan rakyat kepada PBRS-BN sebagai wadah politik mereka dalam pru-15 akan datang.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Edwin juga tidak menafikan adanya gesaan daripada akar umbi parti kepada pimpinan PBRS agar mengajukan kepada pucuk pimpinan BN supaya mempertimbangkan untuk meletakkan calon PBRS di beberapa kawasan strategik yang telah dikenalpasti.
“Pucuk pimpinan PBRS menyerahkan sepenuhnya Keputusan mengenai perkara tersebut kepada Pengerusi Barisan Nasional bersesuaian dengan semangat setiakawan yang sedia ada”, katanya.