Edward Linggu Dilantik Seriausaha Agung STAR

edward-linggu.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan mengumumkan pelantikan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Edward Linggu Bukut sebagai Setiausaha Agung parti yang baharu menggantikan mendiang Senator Datuk Guandee Kohoi.

Dr. Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah membuat pengumuman itu semasa mesyuarat pertama Ahli Majlis Tertinggi parti yang diadakan di Sokid Villa pada petang Ahad

Parti itu baharu sahaja selesai mengadakan Mesyuarat Agung Perwakilan Tri-Tahunan Keduanya pada 20-21 Oktober lalu.

“Selepas proses pemilihan dalam mesyuarat agung, maka tiba masanya kita mengumumkan pelantikan jawatan-jawatan dilantik dalam parti,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Ketika mesyuarat agung terdahulu, Dr Jeffrey telah mengumumkan pelantikan semula Datuk Guandee sebagai Setiausaha Agung dan Datuk Iskandar Abdul Malek sebagai Bendahari Agung.

Bagaimanapun jawatan Setiausaha Agung kosong berikutan pemergian mengejut Guandee di Hospital Kuala Lumpur minggu lalu.

Turut diumumkan ialah pelantikan bekas ADUN Inanam, Kenny Chua Teck Ho sebagai Naib Presiden; Ketua Penerangan, Jalumin Bayogoh; Penolong Setiausaha Agung, Ardino Diris dan Gerard Rizal Johari; Penolong Ketua Penerangan; Dr. Henry Bating,; Penolong Bendahari Agung, Arlinsia Agang; serta dua Ahli Majlis Tertinggi, Joseph Suleiman dan Andrew Ambrose Mudi.

Naib Presiden, Dr. Paul Porodong turut dilantik menjadi Pengarah Strategik STAR menggantikan Linggu.

Ketika mesyuarat agung, Linggu selaku Naib Presiden dan Pengarah Strategik STAR mengumumkan keputusan pemilihan kepimpinan parti bagi tempoh 2021-2023. -Warta Oriental

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top