Duta Pelancongan Sabah: Pelantikan Chong Wei Tak Bermakna Pinggirkan ‘Influencer’ Tempatan

noredah.jpg

Noredah

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) tidak pernah meminggirkan “influencer” tempatan untuk membantu mempromosi pelancongan negeri itu, selepas melantik bekas jaguh badminton negara, Lee Chong Wei sebagai dutanya.

Ketua Pegawai Eksekutif STB, Noredah Othman (gambar) berkata, pelantikan anak jati Pulau Pinang itu adalah langkah signifikan untuk melonjakkan lagi industri pelancongan Sabah dan tiada bayaran diberikan kepadanya, kecuali hanya menanggung kos logistik untuk beliau ke Sabah bagi tujuan promosi.

“Kami percaya dengan kedudukan Chong Wei sebagai seseorang yang dihormati, selain berpengaruh secara global mampu menarik minat orang ramai, termasuk pengikutnya mengenali destinasi pelancongan yang ada di Sabah, terutama dari China.

“Kita sangat berterima kasih dan bertuah apabila bekas pemain badminton nombor satu dunia bersetuju menjadi duta pelancongan kita,” katanya dalam kenyataan susulan rasa tidak puas hati sesetengah pihak terhadap pelantikan Chong Wei sebagai duta pelancongan Sabah.

Noredah berkata, agensi itu juga pernah melantik orang tempatan sebagai dutanya untuk membantu mempromosi pelancongan Sabah, sama ada bagi pasaran domestik mahupun antarabangsa.

“Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar pernah melantik pemain golf profesional Malaysia, Ben Leong sebagai duta golf di Sabah, yang mana untuk membantu lebih ramai peminat sukan golf datang bermain di negeri ini.

“Selain itu, kementerian juga pernah melantik penyanyi kelahiran Kota Belud, Gary Chaw sebagai duta pelancongan untuk mempromosi Sabah kepada peminatnya di China.

“China antara pasaran utama pelancongan Sabah dan STB mahu meneruskan usaha agar pelancong dari China terus berkunjung ke negeri ini, khususnya dalam tempoh pasca pandemik ini.”

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top