KUALA LUMPUR: Tindakan membatalkan lantikan Datuk Seri Nazri Aziz sebagai Duta ke Amerika Syarikat jika dilakukan, akan menimbulkan banyak masalah kerana ia sudah disahkan sejak setahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun beliau sebelum ini memohon pelantikan itu ditangguhkan sementara bagi memberi laluan kepada lantikan jemaah menteri.
“Lantikan itu dibuat hampir setahun lalu, mengambil masa enam bulan untuk Amerika Syarikat mengesahkan. Jadi bila saya datang, maka kerajaan sekarang hanya mengesahkan kerana membatalkan itu menimbulkan banyak masalah.
“Bila saya ambil alih, saya hanya mohon Yang di-Pertuan Agong tangguhkan sedikit watikah itu supaya saya susun dulu jemaah menteri dan saya harus maklumkan kepada jemaah menteri,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kritikan terhadapnya susulan pengumuman Kementerian Luar bahawa Nazri antara 10 ketua perwakilan diplomatik Malaysia yang menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Menurut laporan sebelum ini, antara yang mengkritik pelantikan Nazri sebagai Duta Besar Malaysia ke AS adalah Ahli Parlimen Pasir Gudang daripada PKR, Hassan Abdul Karim yang menegaskan jawatan duta perlu dikhaskan kepada diplomat yang mahir dalam hal ehwal antarabangsa.
Khabar mengenai pelantikan Nazri sebagai duta sudah kedengaran sejak awal tahun lalu, namun ketika itu namanya dicadangkan sebagai Duta Besar Malaysia Ke Switzerland, yang diusulkan ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.
Pengesahan selepas itu datang dari Nazri sendiri yang tampil menjelaskan terpaksa menolak jawatan itu kerana perlu melepaskan keanggotaannya sebagai ahli Parlimen.
Kementerian Luar dalam masa yang sama turut menafikan pencalonan beliau sebagai Duta Besar Malaysia ke Switzerland ditolak negara itu.
Mengulas lanjut, Anwar mengingatkan semua pihak agar tidak menghukum terlebih dahulu sebelum penjelasan dibuat berhubung lantikan berkenaan.
“Sepatutnya orang nak tegur boleh tapi serangan itu keras seolah-olah kita yang bertanggungjawab, dibuat dan proses pengesahan oleh Amerika Syarikat itu agak panjang, jadi ia telah disahkan,” ujarnya. – UTUSAN