DUN Sarawak Bubar Rabu Lalu, PRN Ketika Pandemik Satu Keputusan Sukar – Abang Johari

abang-jo.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan berkuat kuasa 3 November lalu, Kata Ketua Menterinya Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Pada satu sidang media hari ini beliau berkata, Speaker DUN akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai pembubaran itu.

Katanya, ketika ini kerajaan negeri akan menjalankan fungsi sebagai kerajaan sementara sehingga menunggu pilihan raya negeri (PRN) Sarawak diadakan.

Abang Johari turut menyifatkan keputusan untuk melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 ketika tempoh pandemik adalah satu keputusan yang sukar.

Katanya, situasi unik ini berlaku julung kalinya di dalam sejarah Sarawak di mana Kerajaan Negeri perlu mendapatkan mandat baharu dalam masa yang sama mentadbir dan melaksanakan strategi menangani wabak.

“Sudah tentu (sukar).. kita perlu melibatkan semua pihak.

“Kesihatan orang ramai juga penting dan pada masa yang sama kita mesti mengamalkan proses demokrasi kita supaya apabila kita membuat keputusan, kita dapatkan input daripada semua pihak berkepentingan seperti yang saya katakan tadi,” katanya.

Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memperkenankan pembatalan Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lepas.

Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Azuan Effendy Zairakithnaini dalam kenyataan semalam memaklumkan perkenan Agong terhadap pembatalan proklamasi berkenaan selaras dengan Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Pembatalan Proklamasi Darurat itu akan memberi laluan kepada pilihan raya negeri ke-12 (PRN12) Sarawak diadakan setelah tempoh mandat kerajaan negeri Sarawak tamat pada 6 Jun lalu.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top