DUN Sabah tidak wajar bubar awal

mustamam.jpg

Mustaman Mustain

Kongsi Bersama

TAWAU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak wajar dibubarkan lebih awal bagi memastikan pentadbiran negeri stabil, kesejahteraan rakyat terjamin dan menghormati mandat rakyat.

Menurut Ketua Penerangan PAS negeri, Mustaman Mustain, pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpin oleh Datuk Seri Panglima Hajiji Noor perlu dikekalkan sehingga tamat tempoh.

“Saranan yang dikemukakan oleh PAS Sabah ini mengambil kira beberapa aspek yang memicu kegusaran rakyat sekiranya DUN Sabah dibubarkan lebih awal berdasarkan desakan yang dibuat oleh beberapa pihak yang memiliki kepentingan tertentu.

“Beberapa perkara akan terjejas, misalnya Belanjawan Sabah 2025 yang baru sahaja diluluskan dengan jumlah tertinggi dalam sejarah (RM6.421 bilion) disertai pelbagai inisiatif mesra rakyat akan terbantut sekiranya DUN Sabah dibubarkan lebih awal,” katanya dalam kenyataan di media sosial, hari ini.

Tambahnya, rancangan kerajaan negeri seperti bantuan khas RM300 sebulan buat golongan miskin, pembinaan Rumah Mesra SMJ dan bantuan RM5,000 kepada peniaga gerai kecil sudah pasti akan terganggu sekali gus memberi kesan langsung kepada rakyat yang memerlukan.

Mustaman berkata, PAS Sabah juga melihat mengekalkan DUN Sabah sehingga tamat tempoh adalah sebagai tanda penghormatan kepada mandat rakyat yang diterima pada 2020.

“Pembubaran awal dianggap sebagai pengkhianatan kepada kepercayaan rakyat yang mahu melihat kerajaan yang mereka pilih mampu membuktikan kemampuan sehingga tamat penggal.

“Sewajarnya semua pihak perlu menfokuskan kepada isu rakyat tanpa desakan pembubaran DUN lebih awal yang mampu menyumbang kepada gangguan politik,” ujarnya

Tambah beliau, isu kritikal seperti pembangunan infrastruktur, pendidikan, dan ekonomi luar bandar perlu ditangani dengan sebaik mungkin, sebaliknya pilihan raya awal hanya akan mengalihkan perhatian kerajaan daripada menyelesaikan isu-isu utama rakyat yang sepatutnya fokus kepada pentadbiran.

Sementara itu, PAS Sabah juga melihat dengan menolak cadangan pembubaran DUN lebih awal adalah bagi mengelakkan bebanan kewangan dan risiko bebanan perasaan kepada pengundi.

Menurutnya, selain membebankan kewangan negara, rakyat yang sudah letih dengan politiking melampau dilihat muak dengan tindakan pihak yang mendesak DUN dibubarkan lebih awal tanpa sebab yang munasabah.

“Tambahan lagi, buat masa kini, tiada keperluan mendesak untuk pembubaran DUN memandangkan Kerajaan Negeri Sabah tidak menghadapi masalah pentadbiran kritikal yang memerlukan pembubaran awal.

“Walaupun muncul isu rasuah yang diuar-uarkan, ia boleh diselesaikan melalui mekanisme sedia ada seperti SPRM tanpa perlu mengganggu kestabilan politik.

“Tuntasnya, keputusan untuk mengekalkan DUN Sabah sehingga tamat tempoh adalah langkah yang paling bijak demi memastikan kestabilan negeri, kelancaran pentadbiran dan kesejahteraan rakyat Sabah terus terpelihara,” kata Mustaman.

Tambahnya, adapun pandangan sesetengah pihak yang mendesak DUN dibubarkan lebih awal dilihat hanya untuk memenuhi kepentingan peribadi pihak tertentu yang jelas mengenepikan kepentingan rakyat.

Tempoh pentadbiran kerajaan negeri yang ada sekarang berakhir pada Oktober tahun depan. – HARAKAHDAILY

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top