KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan tiga Rang Undang-Undang (RUU) iaitu Penukaran Tenaga Haba Lautan (OTEC) 2024, Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) (No.2) 2024, dan RUU Tatacara Jenayah Syariah (Pindaan) 2024.
Ketiga-tiga RUU berkenaan diluluskan oleh Speaker DUN Sabah Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya selepas dibahaskan dan mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor ketika membentangkan RUU Penukaran Tenaga Haba Lautan 2024 berkata, RUU berkenaan akan memberi laluan bagi pembangunan OTEC sebagai sumber tenaga boleh baharu yang baharu dan sebagai salah satu inisiatif utama di bawah Ekonomi Biru.
Katanya, enakmen berkenaan juga akan membolehkan Sabah melalui Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) mengawal aktiviti penerokaan, pembinaan, dan operasi fasiliti OTEC.
“Teknologi OTEC menggunakan perbezaan suhu antara air permukaan yang panas dan air laut dalam yang sejuk untuk menghasilkan tenaga elektrik secara mesra alam.
“Sabah mempunyai sumber laut yang luas dan ciri-ciri yang sesuai, menjadikannya wilayah utama untuk meneroka OTEC.
“Kajian menunjukkan kawasan tertentu di Sabah berpotensi menghasilkan sehingga 20,000 Megawatt (MW) kuasa elektrik, yang boleh digunakan untuk menghasilkan hidrogen hijau, iaitu suatu sumber tenaga yang mendapat permintaan tinggi untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar,” jelasnya.
Sehubungan itu beliau berkata, industri berkenaan akan mencipta pekerjaan dan menarik pelaburan asing ke Sabah.
Menurutnya, produk sekunder seperti produk marikultur dan air minuman akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di kawasan sekitar tempatan.
Katanya, sebagai perintis untuk pembangunan OTEC di rantau ASEAN, ia juga dapat menarik golongan profesional terlatih dan menggalakkan inovasi untuk memacu pembangunan di negeri Sabah.
Sementara itu, RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) dibentangkan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir dan dibahaskan oleh tiga ADUN.
Beliau berkata, pindaan RUU berkenaan bertujuan memasukkan perkataan ‘haba lautan’ dalam takrif ‘tenaga dapat dibaharui’ supaya fungsi dan kuasa ECoS berkaitan tenaga dapat dibaharui merangkumi perkara berhubung penukaran tenaga haba lautan selaras dengan cadangan Rang Undang-Undang OTEC.
Menurutnya, cadangan pindaan yang dibuat adalah kepada tafsiran ‘tenaga dapat dibaharui’ dalam Seksyen 2 Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023.
“Dengan adanya pindaan ini, ia akan memberi kuasa kepada ECoS untuk mengawal selia tenaga haba lautan di Sabah agar segala aktiviti-aktiviti berkaitan tenaga haba lautan dapat dijalankan secara berterusan tanpa sebarang gangguan,” katanya.
RUU Tatacara Jenayah Syariah (Pindaan) 2024 dibentangkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif dan dibahaskan tiga ADUN.
Mohd Arifin berkata, RUU itu digubal bertujuan memberi kuasa yang lebih jelas kepada Pegawai Penguat Kuasa Agama untuk melakukan siasatan dan mengumpulkan keterangan bagi kesalahan syariah yang dilakukan di media sosial.
Katanya, ia juga bertujuan memudahkan Pendakwa Syarie melaksanakan pendakwaan kerana peruntukan berkaitan pertuduhan yang diterbitkan secara elektronik melalui media sosial tidak diperuntukkan dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Tahun 2004. – Utusan Borneo