KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Khamis meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 berkaitan antilompat parti.
RUU itu diluluskan selepas mendapat sokongan lebih dua pertiga ADUN yang hadir.
13 ADUN mengambil bahagian dalam perbahasan.
Keputusan itu selepas dua pengundian belah bahagian untuk Fasal 2 berkaitan pindaan Perkara 6 Perlembagaan Sabah dan pengundian bacaan ketiga RUU larangan bertukar parti.
Bagi pengundian belah bahagian fasal 2, sebanyak 61 ADUN menyokong, manakala 14 tidak bersetuju dan empat lagi tidak hadir
Manakala 75 ADUN menyokong dan empat tidak hadir bagi pengundian bacaan ketiga RUU larangan bertukar parti.
Tiada ADUN yang berkecuali dalam kedua-dua pengundian.
Fasal 2 dalam RUU itu adalah berkaitan pindaan Perkara 6, iaitu memotong Fasal (7) berhubung panduan Yang di-Pertua Negeri Sabah dalam memilih Ketua Menteri dari parti atau gabungan yang memenangi pilihan raya.
Terdahulu Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor membentangkan RUU berkenaan pada persidangan DUN di sebelah pagi.
Hajiji berkata, pindaan itu antara lain bertujuan memastikan kestabilan politik dan mengelakkan Sabah daripada terus berdepan dengan krisis politik yang tidak berkesudahan