Dun Sabah Lulus Penubuhan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Sabah

DUN-Sabah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Khamis meluluskan usul meminda Enakmen Kumpulan Wang Amanah Kerajaan 1964 dengan undian terbanyak bagi menubuhkan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Sabah.

Usul dibentang Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor dan disokong Datuk Seri Salleh Said Keruak (BN-Usukan) itu adalah bagi memperuntuk sejumlah dana untuk tujuan pendidikan negeri terutama anak Sabah.

Hajiji ketika menggulung perbahasan usul itu berkata penubuhan tabung itu adalah sebagai badan penaja terutama kepada pelajar anak Sabah yang menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi di institusi pengajian tinggi (IPT).

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata anak Sabah layak menerima bantuan tanpa mengira latar belakang kaum, bangsa atau agama mereka, dan tabung itu akan dipengerusikan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah.

“Saya memberi jaminan tabung ini diurus dengan pematuhan peraturan kewangan, tabung ini akan membantu pelajar membayar perbelanjaan kos pengajian daripada peringkat sijil sehingga ijazah, pembayaran pengurusan aktiviti pelajar dan sebarang perbelanjaan diluluskan jawatankuasa kuasa pelaksana.

“Sesiapa yang layak sebagai anak Sabah kita bantu melalui tabung ini…organisasi dan para dermawan yang ingin menyumbang kepada tabung ini tentu sekali akan diberi pengecualian cukai,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) ketika membahaskan usul itu berkata usaha memberikan pendidikan kepada anak Sabah tidak seharusnya terlalu bergantung kepada peruntukan kerajaan semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata beberapa badan seperti syarikat minyak Petronas dan Shell yang melakukan cari gali petroleum di Sabah diminta memainkan peranan menyalurkan bantuan bagi membolehkan tabung itu diperbesar seterusnya lebih ramai anak Sabah mendapat manfaat.

Selain itu katanya, jurusan pengajian anak Sabah yang memperoleh bantuan daripada tabung itu juga perlu ditentukan sesuai dengan keperluan dan kehendak pasaran pekerjaaan semasa.

“Perlu tentukan jurusan mana yang sesuai selaras dengan persekitaran yang sentiasa berubah supaya mereka bila keluar IPT tidak meraba-raba untuk mencari pekerjaan, ia perlu sepadan dengan permintaan pasaran,” katanya. – Bernama

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top