Calon Barisan Nasional (BN) dari Umno hampir pasti akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu pada pilihan raya negeri (PRN) bulan ini.
Ini merupakan perkembangan terbaharu walaupun kerusi DUN berkenaan sebelum ini menjadi sebutan ramai dan tanda tanya.
Di pihak Umno, yang telah berakar umbi di bahagian Beaufort termasuklah kawasan DUN Kuala Penyu sekian lama telah menyuarakan keinginan untuk diberi peluang bertanding di DUN berkenaan selepas UPKO meninggalkan BN pada pilihan raya lepas.
Dalam beberapa perbincangan dengan kepimpinan atasan, Umno Sabah sentiasa menyampaikan hasrat yang terbuku di hati Umno Bahagian Beaufort untuk diberi peluang kali ini berdasarkan fakta sokongan akar umbi.
Sekiranya perkembangan terbaharu ini menjadi kenyataan, kesakitan yang dirasai oleh penyokong dan ahli Umno Beaufort khususnya di DUN Kuala Penyu telah menerima vaksin dan suntikan semangat yang membolehkan parti bergerak menggalaskan amanah.
Siapa yang menjadi calon pilihan parti untuk mengibarkan bendera dacing di kerusi ini nanti hanya akan diketahui selewat-lewatnya pada 9 September ini.
Bagaimanapun, berdasarkan laporan dan fakta, Ketua Umno Bahagian Beaufort, Haji Fadzlee Lee Abdullah (gambar) besar kemungkinan akan diberi amanah untuk mewakili BN dalam PRN kali ini di kerusi berkenaan.
Ini bermakna calon BN akan berhadapan dengan calon UPKO yang akan menggunakan lambang sendiri, satu pertembungan baharu selepas parti itu mengkhianati perjuangan BN pada PRU-14 lalu.
Sebelum ini, terdapat khabar angin bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berusaha melobi untuk bertanding di kerusi berkenaan.
Kini DUN Kuala Penyu dikenali N.33 dari N.26 selepas pertambahan kawasan baharu berikutan persempadanan semula dilakukan Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR).-buletinsabah