Duduk Berbincang, Apa Asasnya? Tanya Shafie

shafie2.jpg
Kongsi Bersama

BEAUFORT: Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal tidak memberi respons positif terhadap cadangan yang mahukan pemimpin utama Sabah duduk berbincang bagi membentuk kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Utusan Malaysia dalam laporannya semalam menyebut, cadangan yang dikemukakan oleh Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Khairul Firdaus Akhbar Khan yang mahukan Mohd. Shafie bersama Datuk Seri Hajiji Noor dan Datuk Seri Bung Moktar Radin berbincang bagi membentuk kerjasama di peringkat negeri tidak menerima sambutan yang baik.

Malah, Ahli Parlimen Semporna itu mempersoalkan asas kepada kerjasama yang ingin dibentuk kerana hala tuju perjuangan ketiga-tiga mereka tidak sama.

“Kalau saya mahu kerjasama, saya sudah kerjasama di Kuala Lumpur awal-awal lagi, kerjasama dengan Muhyiddin Yassin mahupun Anwar Ibrahim tapi, kita masih di blok pembangkang.

“Apa yang penting kena ada asasnya, apa landasan kalau nak kerjasama. Kalau macam di Sarawak cukup jelas perjuangannya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dianggotai parti-parti tempatan. Tiada parti daripada Semenanjung jadi, ada kejelasan.

“Sebelum ini, Muhyiddin pun minta kerjasama dengan saya, saya tidak bagi jadi, macam mana kita nak kerjasama,” katanya semasa majlis berbuka puasa bersama masyarakat di Beaufort dan Sipitang di Masjid An-Nur Lingkungan kelmarin.

Pada Selasa, Khairul Firdaus mencadangkan Hajiji, Bung Moktar dan Mohd. Shafie yang merupakan pemimpin utama Sabah perlu duduk berbincang untuk menjalin kerjasama demi pembangunan Sabah.

Jelas Khairul Firdaus, politik Sabah memerlukan perubahan bagi mewujudkan satu blok sendiri untuk bersama-sama dengan Sarawak.

Dalam pada itu, Mohd. Shafie meletak kepercayaan bahawa peratusan pengundi pada PRU-15 jauh lebih baik berbanding tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan sebelum ini.

Beliau berkata, PRN rakyat tidak mahu turun sangat kerana tiada perubahan yang begitu besar namun, PRU merupakan pemerintahan negara maka, beliau yakin rakyat akan turun beramai-ramai untuk memastikan perubahan berlaku di negara ini.

“Perubahan di negara kita akan berlaku jadi corak penggundi agak berbeza dan tidak sama dengan pilihan raya di peringkat negeri.

“Saya yakin rakyat akan membuat keputusan untuk turun mengundi pada PRU-15 kerana hanya dengan cara itu, kestabilan politik dan ekonomi negara dapat dipulihkan,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top