KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Dr Joachim Gunsalam meminta Shell mempertimbangkan semula keputusannya mengecilkan operasi di negeri ini.
Bung, yang juga menteri kerja raya Sabah, berkata kerajaan negeri memandang “serius” keputusan Shell Malaysia.
“Shell Malaysia patut berganding bahu dengan kerajaan Sabah dalam mengimbangi ekonomi negeri, bukan hanya mengaut keuntungan dari negeri ini, tetapi tidak meninggalkan kawan pada masa sukar,” katanya kepada FMT.
“Saya meminta Shell Malaysia mempertimbangkan semula keputusannya kerana akan ada impak kepada tenaga kerja dan seterusnya menjejaskan ekonomi negeri.”
Katanya, Shell mendapat banyak faedah daripada perniagaan huluan dan hiliran di Sabah.
Gunsalam, yang juga menteri pembangunan perindustrian pula berkata beliau tidak pasti sebab syarikat multinasional itu mengecilkan operasi huluannya dan memindahkan kakitangannya dari Sabah.
Beliau berkata, tidak wajar untuk syarikat itu mengecilkan operasi atau meninggalkan Sabah.
“Saya harap mereka akan mempertimbangkan semula. Kami akan cuba bertemu dengan mereka jika ada keperluan kerana saya tidak tahu kisah penuhnya. Kami tidak tahu sebab utama mereka – Kami perlu tahu sebabnya,” katanya kepada FMT.
“Jika mereka betul-betul pindah keluar, ia tamparan besar buat industri Sabah, bukan setakat reputasi negeri.”
Terdahulu, FMT melaporkan Shell akan mengecilkan operasinya di Sabah dan memindahkan kakitangan huluan dari Plaza Shell di sini, ke Miri di Sarawak, ibu pejabat huluan syarikat itu.
Sumber berkata, dalam mesyuarat dalaman minggu lalu, kakitangan syarikat itu diberitahu Shell akan memperkecilkan operasinya di Kota Kinabalu dan berpindah ke Miri, Sarawak.
Beliau mendakwa kakitangan dari pejabat huluan di Kuala Lumpur juga akan dipindahkan ke Miri.
Shell Malaysia kemudiannya mengesahkan tindakan itu sedang dilakukan, tetapi ia tidak memperincikan bilangan kakitangan terlibat atau sebab utama langkah itu diambil.
“Kami akan mengurangkan kehadiran pejabat di Kota Kinabalu, bagaimanapun Sabah kekal sebagai negeri penting Shell.
“Kami terus komited kepada operasi hiliran dan huluan laut dalam ketika kami menyumbang kepada pembangunan komuniti di Sabah,” kata syarikat itu.
Tindakan Shell itu dilihat pihak berkepentingan perniagaan, minyak dan gas sebagai tamparan besar buat Sabah dalam usahanya menjadi hub industri itu.
Ketika ini, operasi huluan dan hiliran syarikat itu ditempatkan di Plaza Shell setinggi 14 tingkat, bangunan mercu tanda milik pemaju Kumpulan Hup Seng. Ia terletak di tengah-tengah kawasan perniagaan di bandar ini, dengan 200 kakitangan Shell ditempatkan di 4 tingkat bangunan itu.
Selain perniagaan hiliran, Shell mempunyai telaga minyak laut dalam di luar pesisir Sabah, iaitu Gumusut-Kakap dan Malikai, yang mengeluarkan 220,000 tong minyak sehari.