TAWAU: Dua individu termasuk kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak 24 Jun lalu ketika memburu di Ladang Usahawan Borneo Burmas ditemukan selamat di sini kelmarin.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata kedua-dua mangsa masing-masing berumur 33 dan 11 tahun itu berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan selepas sembilan hari operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dijalankan.
“Mangsa ditemukan orang awam sekitar jam 9 pagi sebelum operasi SAR dimulakan pada hari kesembilan.
“Mangsa kemudian dihantar ke Dewan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk berjumpa dengan ahli keluarga masing-masing,” katanya.
Tambahnya pasukan Bomba turut menjalankan pemeriksaan terhadap mangsa bagi memastikan mangsa dalam keadaan baik.
Katanya operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1 petang selepas memastikan tiada unsur bahaya lain di lokasi.
Terdahulu mangsa pada mulanya keluar memburu secara berkumpulan seramai lapan orang keseluruhan sebelum berpecah kepada beberapa kumpulan ketika berada di dalam hutan.
Dua daripada mereka tidak pulang dan usaha mencari mangsa sudah dilakukan oleh rakan-rakannya bagaimanapun kedua-dua mangsa gagal ditemukan sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Operasi SAR dijalankan sepasukan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau bersama agensi penyelamat lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sumber: Utusan Borneo