Dua Sekeluarga Rentung Dalam Kebakaran di Kampung Titingan

kebakaran.jpg
Kongsi Bersama

TAWAU: Dua sekeluarga termasuk seorang warga emas ditemukan rentung dalam insiden kebakaran membabitkan lima buah rumah di Kampung Titingan, di sini tengah malam, tadi, lapor Utusan Borneo.

Mayat mangsa, wanita berumur 40-an dan 70-an itu ditemukan di dalam sebuah bilik dipercayai terperangkap dan gagal keluar selepas rumah mereka terbakar.

Menurut laporan itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.53 tengah malam.

Katanya, susulan itu, seramai 18 anggota dan pegawai bersama lima jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi memadam.

“Sebaik tiba, pasukan bomba segera melakukan pemadaman menggunakan sumber air dari dua jentera dan paip Jabatan Air Tawau.

“Operasi turut dibantu seramai 14 anggota Bomba Komuniti Kampung Sri Titingan dan agensi lain yang bersama-sama membantu mengawal serta memadam kebakaran,” katanya.

Menurutnya, terdapat dua mangsa rentung dipercayai mempunyai kaitan keluarga ditemukan berdekatan kira-kira jarak lima kaki di dalam sebuah bilik rumah dua tingkat.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan di bawa ke Hospital Besar Tawau oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk proses bedah siasat.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat sebelum menamatkan operasi pada jam 3.08 pagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, di sini hari ini.

Julius berkata, pasukan bomba akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top