Dua Pelajar Pamer Prestasi Terbaik Akademik Di Telupid Terima Sumbangan Tablet

upko-laptop-pelajar.jpg
Kongsi Bersama

Dua pelajar Tingkatan 4 SMK Telupid yang memperolehi prestasi terbaik dalam akademik menerima sumbangan Tablet dan bakul makanan daripada Commonwealth Association of Leadership Malaysia (CALM) dan Lions Club.

Pelajar berkenaan ialah Adik Firdhan Donic dari Kampung Berayun dan Adik Salovia Jemis dari Kampung Melapi Telupid.

Mereka merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak yang bermurah hati memberikan sumbangan.

“Sebelum ini saya memang berniat mahu beli Tablet untuk memudahkan saya belajar secara PdPR sebab telefon bimbit saya selalu bermasalah tetapi oleh kerana masalah bajet kurang mencukupi, terpaksa tangguh.

“Tidak menyangka pula ada pihak yang bermurah hati memberikan sumbangan. Saya gembira dan amat bersyukur kerana diberikan Tablet secara percuma,” kata Salovia.

Sementara itu Adik Firdhan juga berterima kasih kepada CALM yang bermurah hati memberikan sumbangan itu.

“Saya tidak sangka dapat sumbangan Tablet. Sebelum ini saya guna telefon biasa yang dikongsikan bersama adik beradik saya untuk belajar PdPR,” katanya menurut Nabalu News, semalam.

Ketua Pemuda Upko Felix Joseph Saang berkata, dua pelajar berkenaan adalah antara pelajar yang dikenalpasti untuk menerima sumbangan itu.

“Ramai pelajar di daerah ini memerlukan sumbangan tetapi kita difahamkan Adik Firdhan Donic dan Adik Salovia Jemis telah dicadangkan menerima sumbangan tersebut berdasarkan prestasi akademik mereka dan latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan.

“Semoga sumbangan ini dapat memberikan motivasi dan semangat kepada mereka untuk terus cemerlang dalam bidang akademik dan seterusnya mencapai cita-cita yang diimpikan,” katanya.

Felix yang juga Ketua Bahagian Upko Beluran turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Timbalan Ketua Pemuda Upko Kennedy John atas usaha mempermudahkan urusan penyampaian sumbangan itu.

“Kita harapkan lebih banyak badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil membantu para pelajar berpotensi di luar bandar agar mereka lebih terdorong dan termotivasi untuk terus mempertingkatkan pencapaian dalam bidang akademik.

“Semoga pelajar-pelajar di daerah Telupid akan terus cemerlang dalam bidang akademik,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top