PENAMPANG: Kerusi Parlimen Penampang akan menjadi salah satu daripada kerusi tumpuan umum pada PRU15 nanti kerana dua ia dijangka menjadi medan pertembungan dua gergasi muda di arena politik Sabah iaitu Datuk Darell Leiking dan Datuk Ewon Benedick.
Walaupun setakat ini Warisan, parti yang Leiking menjadi timbalan presidennya setakat ini baru menamakan tiga calon untuk dipertaruhkan pada PRU tersebut iaitu Datuk Adnan Putih (Sipitang), Dr Daud Yusof (Kimanis) dan Ahmad Hassan (Papar), namun menurut sumber, Leiking hampir pasti akan dicalonkan untuk mempertahankan Penampang, kerusi yang diwakilinya sejak dua penggal lepas.
Pada PRU14 Leiking memenangi kerusi itu atas tiket Warisan dengan majoriti 23,473 dan pada PRU sebelumnya beliau yang bertanding sebagai calon PKR menumbangkan presiden UPKO Tan Sri Bernard Dompok dengan majoriti 10,216.
UPKO juga setakat ini belum menamakan sebarang calon secara rasmi namun cakap-cakap di lapangan menyebut Ewon berkemungkinan besar diturunkan untuk mencabar Leiking. Malah suara akar umbi juga dilaporkan banyak mendesak beliau bertanding merebut kerusi itu.
Disifatkan sebagai salah seorang pemimpin muda yang cemerlang dalam arena politik Sabah, Ewon, 40, merupakan ADUN Kadamaian sejak 2018 dan kini merupakan presiden menanti UPKO – jawatan yang dimenanginya tanpa bertanding selepas presiden sekarang Datuk Seri Madius Tangau tidak mempertahankan jawatan.
Mampu atau tidak Ewon -sekiranya terpilih bertanding – menumbangkan Leiking adalah perkara yang lain. Setakat ini apa yang pasti, tokoh muda itu dianggap sebagai yang paling layak berdepan dengan timbalan presiden parti Warisan tersebut.