KOTA BELUD: Dua individu telah ditangkap secara berasingan pada minggu lepas di Kota Belud kerana memiliki senjata api buatan sendiri ( bakakuk ).
Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjatapi 1960 dan jika sabit kesalahan, bakal berhadapan dengan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun, atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000, atau kedua-duanya sekali.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Supt. Sahimi Husin menyeru semua penduduk khususnya di daerah Kota Belud supaya tampil untuk memberi maklumat kepada pihak polis jika mengetahui ada sesiapa yang menyimpan atau memiliki senjata api buatan sendiri yakni tanpa lesen senjata yang sah disisi undang-undang.
Pihak polis akan sentiasa memantau dan membuat pemeriksaan di rumah-rumah atau tempat-tempat yang dipercayai ada menyimpan senjata api buatan sendiri demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.