KOTA KINABALU: Sebuah kereta dipercayai terbabas lalu melanggar tembok di tingkat tiga sebelum terjunam ke tingkat dua di sebuah kompleks membeli belah di Asia City, di sini, pagi tadi,
Dua individu yang menaiki kereta itu bagaimanapun bernasib baik kerana hanya mengalami cedera ringan.
Mereka, lelaki berusia 24 tahun dan wanita berusia 30 tahun dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Kejadian itu dikatakan berlaku kira-kira jam 10.30 pagi dan menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.56 pagi.
Menurut beliau,, sepasukan bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi berkenaan .
“Laporan terdapat sebuah kereta jenis Toyota Vios terbabas di tingkat tiga tempat letak kereta lalu melanggar tembok dan terjunam ke tingkat dua.
“Terdapat dua mangsa terbabit dan keluar sendiri dari kereta berkenaan dan mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba bertindak menjalankan pemeriksaan untuk memastikan tiada lagi bahaya lain dan memasang sawar-sawar di lokasi kejadian.
“Mangsa dihantar ke hospital menggunakan ambulans dan operasi tamat pada 11.59 pagi,” katanya.