Dua ahli pertubuhan Tau Gamma Phi dipenjara 2 bulan

tukul-mahkamah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Dua lelaki warga Filipina dijatuhkan hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah terbabit dengan pertubuhan haram ‘Tau Gamma Phi’ (TGP).

Majistret Wan Farrah Fariza Wan Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Adam Abdul Raji, 19, dan Aljimal Jul, 18, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Wan Farrah mengarahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 2 Ogos lalu.

Mahkamah juga mengarahkan supaya Adam dan Aljimal dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.

Terdahulu, Adam dan Aljimal dihadapkan ke mahkamah bersama dua remaja lelaki berusia 17 tahun yang didakwa atas kesalahan sama.

Bagaimanapun, kes terhadap dua remaja itu akan disebut semula di Mahkamah Kanak-Kanak pada 22 September depan.

Kesemua tertuduh ditahan polis dari cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada 2 Ogos lalu, kira-kira jam 7 malam.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 50 (3) Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM3,000 jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jessica Ombou Kakayun manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mereka ditahan selepas didapati menjadi ahli kumpulan ‘Tau Gamma Phi’ (TGP) – Chapter 1Borneo iaitu satu pertubuhan yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Polis turut merampas baju yang dipakai oleh kesemua tertuduh kerana mempunyai logo serta tulisan berkenaan kumpulan TGP.

Selain itu, pemeriksaan fizikal pada keempat-empat tertuduh juga mendapati terdapat kesan tatu yang menandakan mereka sebagai ahli kumpulan TGP pada bahagian dada mereka. – HMetro

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top