Dr Yusuf Yacob Kekal Sebagai ADUN Sindumin – Speaker

dr-yusuf.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Datuk Dr. Yusuf Yacob kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.35 Sindumin, kata Speaker DUN Datuk Haji Kadzim M. Yahya.

Kadzim mengumumkan demikian dalam satu kenyataan hari ini.

“Saya ingin merujuk kepada isu berkenaan dengan status Kerusi DUN N.35 Sindumin.

“Pada 8 Oktober 2021, YB Datuk Dr. Yusuf Yacob mengisytiharkan bahawa beliau secara rasmi meninggalkan Parti Warisan sebagai ahli dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan YAB Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.

“Pada hari yang sama, YB Datuk Dr. Yusuf Yacob memaklumkan keputusan beliau kepada saya melalui perbualan telefon dan meminta untuk  bertemu dengan saya di pejabat saya. Mesyuarat itu diadakan pada 11 Oktober 2021 pada atau sekitar jam 11.20 pagi.

“Dalam pertemuan itu, YB Datuk Dr. Yusuf Yacob telah menyerahkan kepada saya Surat Akuan Bersumpah, mengisytiharkan antara lain:- bahawa dia membatalkan semua ikrar yang telah dibuatnya dengan Parti Warisan sebelum pilihan raya umum ke-16 pada 2020 berlangsung, termasuk jika ada, ikrar untuk mengosongkan kerusi DUN N.35 Sindumin sekiranya dia meninggalkan Parti Warisan,” kata Kadzim.

Susulan itu, katanya pada 15 Oktober 2021, beliau telah menerima surat daripada firma guaman yang mendakwa YB Datuk Dr Yusuf Yacob melantik mereka. Bersama surat itu dilampirkan surat perletakan jawatan yang kononnya ditandatangani oleh YB Datuk Dr. Yusuf Yacob dan kononnya bertarikh 8 Oktober 2021.

“Berikutan surat perletakan jawatan yang didakwa daripadanya, YB Datuk Dr. Yusuf Yacob dengan tegas menafikannya. YB Datuk Dr. Yusuf Yacob mengemukakan satu lagi Surat Akuan Bersumpah bertarikh 16 Oktober 2021, dengan menyatakan antara lain: – bahawa beliau tidak pernah menandatangani surat perletakan jawatan bertarikh 8.10.2021 seperti yang dikemukakan oleh firma guaman tersebut dan yang mendakwa kononnya beliau telah meletakkan jawatan sebagai ADUN N.35 Sindumin melalui surat perletakan jawatan.

“Saya telah menerima tiga dokumen dari YB Datuk Dr. Yusof Yacob dan dua dokumen dari Parti Warisan atau ejennya.

“Untuk menentukan status kerusi N.35 Sindumin, saya dipandu oleh dokumen-dokumen yang telah diserahkan kepada saya di atas, pertemuan yang dilakukan pada 11 Oktober 2021, undang-undang seperti sekarang dan kes ADUN Sebatik yang mempunyai fakta yang hampir sama dengan isu yang dihadapi sekarang.

“Justeru, berdasarkan perkara di atas, walaupun YB Datuk Dr. Yusuf Yacob bukan lagi ahli parti politik iaitu Warisan, kerusi DUN N.35 Sindumin tidak kosong apabila YB Datuk Dr Yusuf Yacob mengisytiharkan keluar Parti Warisan pada 8 Oktober 2021,” kata Kadzim.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top