Dr Yusof minta Kabinet Negeri nyatakan status terkini cadangan pemindahan KKIA ke Kimanis

Dr-Yusof-1.jpg

Kredit foto: SGmedia Groups

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kabinet Negeri diminta menyatakan status terkini cadangan pemindahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke lokasi baharu di Kimanis.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob (gambar, tengah) berkata, pada masa lalu Kabinet Negeri telah bersetuju cadangan untuk memindahkan KKIA ke Kimanis dan satu Kajian Kebolehlaksanaan (feasibility study) telah dilakukan.

“Laporan Kajian Kebolehlaksanaan tersebut telah dibuat oleh perunding (consultant) dan dibentang tetapi kabinet negeri belum membuat keputusan. Jadi saya minta kabinet negeri menyatakan apakah statusnya. Jadi dipindah atau cuma bertahan di KKIA.

“Walaupun Kementerian Pengangkutan melalui menterinya Anthony Loke telah mengemukakan untuk menaiktaraf KKIA, kita kena melihat jangka panjang bahawa naiktaraf KKIA ini tidak menyelesaikan masalah,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-16, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad berkata, keluasan KKIA 900 ekar dengan hanya ada satu landasan tidak dapat menampung keperluan semasa dengan faktor KKIA masa depan perlu ada dua landasan.

“Lihat Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta Jakarta ada tiga landasan, begitu juga Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dan Lapangan Terbang Changi Singapura.

“Keluasan lapangan terbang antarbangsa ini paling kurang 3,100 ekar. Sebagai contoh Lapangan Terbang Changi Singapura 6,100 ekar, KLIA Sepang 5,000 ekar. Keluasan KKIA 900 ekar memang tidak cukup untuk memenuhi keperluan semasa terkini lapangan antarabangsa.

“KKIA merupakan lapangan terbang kedua tersibuk di negara ini. Kita ada potensi kerana lokasi dan dengan ada penerbangan terus dari nusantara Indonesia dan China,” katanya sambil menambah KKIA juga tidak dapat menampung keperluan penumpang di bangunan itu sendiri seperti kaunter Jabatan Imigresen dan tempat mengambil beg bagasi.

Dr Yusof berkata, faktor lokasi yang jauh jika KKIA dpindahkan ke Kimanis bukan satu halangan disebabkan beberapa lapangan terbang di negara lain juga terletak jauh dari pusat bandar.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok terletak 31 kilometer dari pusat bandar Bangkok, Lapangan Terbang Antarabangsa Jakarta (40 km), KLIA (60km)…Kimanis terletak 47 KM dari Kota Kinabalu.

“Diharapkan kerajaan mempertimbangkan semula dan ini pelaksanaannya perlu mengambil masa lima hingga tujuh tahun,” kata beliau. – Jesselton Times

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top