Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng lebih cenderung memilih Presiden Warisan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri gabungan pembangkang.
Kata Mahathir, dia “tidak menentang” Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih jawatan itu sekiranya presiden PKR itu dapat membuktikan sokongan majoriti ahli parlimen.
Ditemubual di stesen radio BFM 89.9 pagi ini, bekas perdana menteri itu menafikan tanggapan yang mengatakan dia tidak meletakkan keyakinan kepada Anwar untuk menggantikannya dan menegaskan bahawa dia sememangnya berniat untuk menyerahkan jawatan berkenaan.
“Tidak, saya tidak menentangnya, tetapi dia mahu saya mengundurkan diri sebelum saya menyelesaikan tugas saya. Saya beritahu dia, saya akan berundur.
“Malah, saya beritahu beri saya enam bulan kerana saya mempunyai tugas yang harus dilakukan […],” katanya semasa segmen Breakfast Grille.
“Ya dia akan menjadi perdana menteri tetapi ada satu hal yang harus anda terima, bahawa dia (mesti) mendapat sokongan majoriti.
“Saya tidak dapat menentukannya, saya tidak boleh mengatakan ‘anda menjadi perdana menteri’. Anda mesti mendapat sokongan majoriti anggota parlimen,” jelasnya.
Ditanya mengapa dia berpendapat Shafie adalah calon perdana menteri yang lebih baik daripada Anwar, Mahathir menuding jari kepada Lim.
Dia juga berpendapat bahawa Pakatan Harapan (PH) memerlukannya untuk menarik minat pengundi Melayu.
“Ini pandangan Guan Eng, DAP.
“Anwar sama sekali tidak mahu saya berada di sana (sebagai perdana menteri). Tetapi jika saya tidak berada di sana, orang Melayu tidak akan menyokong PH. Dan dia tidak akan dapat menjadi perdana menteri,” jawabnya.
Jun lalu, Mahathir secara terbuka menyokong Shafie sebagai calon perdana menteri pakatan pembangkang berikutan pertemuan dengan pemimpin tertinggi DAP dan Amanah.
Pada masa itu, DAP dan Amanah telah mengusulkan agar PH membincangkan cadangan tersebut.
PKR kemudian menegaskan mereka tetap mahu Anwar sebagai calon perdana menteri.
Sejak disingkir dari Bersatu tahun lalu, Mahathir mengasaskan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).