KOTA KINABALU: Perkhidmatan Prof Datuk Dr Kasim Md Mansur sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dijadual berakhir 3 Oktober ini, disambung semula.
Perkembangan itu diumumkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi satu perkongsian pada akaun rasmi Facebook beliau, semalam.
Dalam catatan yang sama, Khaled turut mengumumkan pelantikan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani.
“Tahniah diucapkan kepada Pengerusi Lembaga Pengarah USIM yang baharu, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani dan pelantikan semula Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Md Mansur.
“Dengan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki oleh kedua-dua tokoh ini, diharap agar mereka dapat memberikan sumbangan dan perkhidmatan yang terbaik kepada universiti awam (UA) masing-masing bagi melonjakkan kecemerlangan sektor pendidikan tinggi negara, insya-Allah,” katanya.
Kasim sebelum ini dilantik sebagai Naib Canselor UMS bagi menggantikan Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin yang tamat tempoh memegang jawatan itu pada akhir Julai tahun lalu.
Difahamkan tempoh perkhidmatan Kasim akan disambung selama dua tahun lagi iaitu sehingga 2 Oktober 2025.
Pakar ekonomi kelahiran Sabah itu memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Sarjana Ekonomi dari Indiana State University, Terra Haute, Amerika Syarikat sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Kedoktoran dalam bidang yang sama di University of Wisconsin.
Sebelum ini, beliau juga pernah menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS selama lima tahun dari 2009 hingga 2014.
Selain sumbangan kepada universiti, Kasim turut memberi sumbangan yang signifikan kepada negeri Sabah menerusi pelantikannya sebagai Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Sabah dan Ahli Lembaga Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS).
Sementara itu, Khaled berkata Nik Norzrul Thani adalah seorang tokoh berpengetahuan luas dalam bidang korporat dan undang-undang.
Katanya, beliau juga menjadi pengerusi beberapa institusi terkemuka negara seperti Sime Darby Plantation Bhd dan Majlis Perniagaan Malaysia-Singapura (MSBC).
“Beliau turut mengarang beberapa karya, antaranya ialah ‘Legal Aspects of the Malaysian Financial System’ serta ‘Development and Impact of Islamic Finance on Southeast Asia’,” katanya dalam perkongsian yang sama.- BHarian