KOTA KINABALU: Lebih banyak syarikat diseru untuk bekerjasama dengan Jabatan Penjara di negeri ini bagi membantu program pemulihan banduan serta bekas banduan di luar tembok penjara, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri berkata pada masa ini, 11 syarikat di Sabah berkolaborasi dengan Jabatan Penjara melalui Corporate Smart Internship (CSI) untuk usaha itu, manakala 20 syarikat kecil menyediakan peluang pekerjaan kepada banduan dan bekas banduan di negeri ini.
“Saya melihat kolaborasi antara dua pihak ini melalui persefahaman yang mendalam akan mengalakkan keberkesanan program pemulihan di luar tembok penjara, sekali gus mengurangkan kadar pengulangan jenayah dalam kalangan penghuni.
“Ini kerana dengan adanya peluang pekerjaan dan pendapatan yang tinggi para banduan mempunyai jaminan hidup yang lebih terurus dan terjamin,” katanya ketika berucap merasmikan Program Outreach Komisioner Jeneral Penjara bersama syarikat CSI dan majikan negeri Sabah serta Labuan di sini pada Jumaat.
Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Jonathan Yassin dan Komisioner Jeneral Penjara Datuk Nordin Muhamad.
Dr Joachim berkata satu daripada program pemulihan luar tembok yang memberi hasil yang memberangsangkan ialah Sistem Parol dan Pembebasan Berlesen, yang seramai 3,885 Orang Yang Diparol (ODP) telah dilepas dalam komuniti Sabah sejak sistem itu dilaksanakan pada 2008.
Beliau berkata memandangkan semua ODP yang menyertai sistem itu warganegara Malaysia beliau akan berusaha agar pihak syarikat memberi keutamaan kepada mereka dari segi peluang pekerjaan sekali gus akan mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.
Selain itu katanya, beliau juga akan berusaha membuka peluang pekerjaan dalam kalangan ODP dan banduan bermula daripada agensi di bawah kementeriannya.
“Saya akan mengarahkan pegawai saya untuk membuat tindakan susulan ke atas perkara ini, oleh itu saya mohon Jabatan Penjara negeri Sabah untuk mengadakan sesi perjumpaan dengan semua syarikat swasta di bawah seliaan saya untuk mendapat maklumat lanjut.
“Pihak kerajaan negeri melalui Kementerian saya juga sentiasa bersedia membantu dari segi khidmat bimbingan kepada bekas banduan untuk memulakan perniagaan sebagai usahawan di pelbagai sektor industri,” katanya.
Menurut Dr Joachim sekiranya banduan tersebut tidak diberi peluang pekerjaan atau mendapat peluang menjalani parol dan hanya menghabiskan hukuman dalam tembok penjara semata-mata, Malaysia tentu kerugian tenaga dan masa banduan itu yang berpotensi untuk bersama membangunkan negara.