Dr Jeffrey Menangi Jawatan Presiden STAR Tanpa Bertanding

Dr-jeffrey.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan kekal sebagai presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah setelah menerima pencalonan 100 peratus dari 64 bahagian berdaftar di seluruh Sabah dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Triennial (tiga tahun sekali) pada 20-21 Oktober.

Setiausaha Agung STAR, Senator Datuk Guandee Kohoi berkata, turut menang tanpa bertanding ialah Timbalan Presiden (Bumiputera Bukan Islam) Datuk Ellron Alfred Angin dan tiga naib presiden.

“Mesyuarat Agung Tiga Tahun sekali yang akan diadakan secara dalam talian melibatkan mesyuarat agung bagi Wiramuda dan Wiranita pada 20 Oktober sementara mesyuarat agung perwakilan pusat adalah pada 21 Oktober,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Menurut Guandee, yang juga menang tanpa bertanding ialah tiga naib presiden iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, Ketua Bahagian STAR Silam, Nawawi Saking (Bumiputera Islam) dan Ketua Bahagian STAR Karambunai, Kapitan Stephen Teo (Cina).

Guandee menambahkan kata, proses pengundian oleh 10 perwakilan dari setiap bahagian untuk memilih calon yang bertanding diadakan di seluruh negeri pada 10-18 Oktober.

“Keputusan pemilihan untuk setiap jawatan akan diumumkan pada 20 Oktober untuk Wiramuda dan Wiranita sementara untuk jawatan peringkat pusat akan diumumkan pada akhir mesyuarat agung perwakilan pada 21 Oktober,” katanya.

Sementara itu, Guandee mengatakan bahawa mesyuarat agung perwakilan akan melihat pembentangan beberapa usul yang berkaitan dengan pindaan perlembagaan.

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top