Dr Jeffrey konsisten dalam perjuangannya – Jalumin

Jalumin-Bayogoh.jpg

Datuk Jalumin Bayogoh

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Seruan Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan semasa Majlis Pelancaran Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar Sabah menjaga urusan sendiri dan menolak dominasi parti politik dari luar negeri adalah penegasan terhadap aspirasi autonomi dan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut Pengarah Komunikasi Parti STAR, Datuk Jalumin Bayogoh, kenyataan Dr. Jeffrey, yang juga presiden STAR itu mencerminkan keprihatinan terhadap pengaruh politik luar yang mungkin tidak memahami keperluan unik rakyat Sabah.

Jalumin menegaskan, pendekatan ini seiring dengan perjuangan konsisten Dr. Jeffrey sejak sekian lama untuk memastikan hak Sabah dihormati, sama ada ketika berada dalam Dewan Parlimen mahupun di lapangan bersama rakyat.

“Sejak beliau mengetuai Parti STAR semasa masih menjadi pembangkang, Dr. Jeffrey tidak pernah lelah menyuarakan hak-hak Sabah, meskipun terpaksa berpanas dan berhujan.

“Kelantangan beliau adalah satu kelegaan kepada penyokongnya, kerana ia menunjukkan perjuangannya tidak berubah walaupun kini memegang jawatan dalam kerajaan,” kata Jalumin dalam satu kenyataan.

Pendekatan Dr. Jeffrey juga dianggap sebagai langkah memperkukuhkan politik tempatan Sabah, memastikan dasar dan keputusan dibuat berdasarkan keutamaan rakyat Sabah, bukan dipengaruhi kepentingan pihak luar.

Bagaimanapun, pendirian ini menerima kritikan daripada pemimpin Umno, yang mendakwa ia tidak praktikal dalam konteks politik Persekutuan.

Jalumin bagaimanapun menepis kritikan itu, menyifatkannya sebagai usaha sesetengah pihak untuk mencari perhatian dengan “berani mengkritik” Dr. Jeffrey.

Seruan Dr. Jeffrey, jelas Jalumin, mencerminkan sentimen ramai rakyat Sabah yang mahu negeri itu bebas daripada pengaruh luar yang berlebihan, dan fokus kepada pembangunan berpandukan suara tempatan.

Ucapan beliau juga dianggap tepat pada masanya untuk memperkasakan autonomi Sabah di bawah kerangka MA63.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top