KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah mencabar Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Datuk Seri Dr Jeffery Kitingan agar segera keluar dari gabungan kerajaan perpaduan jika beliau tidak lagi dapat bekerjasama dengan parti-parti dalam gabungan tersebut.
Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Sazalye Donol, berkata kenyataan terbaru Kitingan semasa program pelancaran pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menyifatkan parti-parti politik berasaskan Semenanjung sebagai penjajah,manakala pemimpinnya sebagai pengkhianat adalah tidak sensitif dan tidak wajar.
“Kenyataan ini menjejaskan kestabilan dan keamanan negara, khususnya Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada program itu Ahad lalu, Kitingan merujuk kepada pemimpin Sabah dalam parti-parti berasaskan Semenanjung sebagai pengkhianat. Beliau menggesa mereka berhenti menjadi pengkhianat dan sebaliknya menjadi patriot kepada negeri.
Kitingan juga berkata bahawa parti-parti politik berasaskan Semenanjung tidak berpuas hati dengan menguasai 75% kerusi Parlimen dan masih mahu merebut baki 25% kerusi yang dipegang oleh Sabah dan Sarawak.
Beliau menyatakan bahawa parti-parti ini telah menyatakan hasrat untuk bertanding dalam pilihan raya negeri Sabah akan datang dan mahu bertanding di kesemua 73 kerusi negeri.
“Kali ini, kami akan beri mereka telur besar (bermaksud sifar kerusi),” katanya sebagaimana dipetik oleh The Star.
Sazalye berkata PKR Sabah memahami perjuangan untuk mendapatkan kembali hak-hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tetapi segala usaha perlu dilakukan dengan berhati-hati dalam semangat ‘kekeluargaan’, sejajar dengan prinsip kerajaan perpaduan.
“Melabel parti-parti berasaskan Semenanjung sebagai penjajah dan pemimpinnya sebagai pengkhianat adalah keterlaluan dan kedengaran provokatif,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tidak ada pelanggaran Perlembagaan Persekutuan untuk parti-parti berasaskan Semenanjung berada di Sabah, dan pemimpin mereka bukan pengkhianat seperti yang dituduh dan dilabelkan oleh Kitingan.
Sazalye menyatakan bahawa pelabelan dan tuduhan seperti itu tidak bertanggungjawab dan boleh dikategorikan sebagai satu bentuk hasutan atau provokasi.
“Oleh itu, kami mencabar Kitingan untuk segera meninggalkan gabungan GRS jika beliau tidak lagi dapat bekerjasama dengan parti-parti dalam kerajaan perpaduan,” tegasnya.