KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh ditahan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Kota Kinabalu.
Akmal sendiri mengesahkan penahanannya dalam hantaran terbaharu di Facebook hari ini.
Dalam catatan itu Exco Kemajuan Desa, Pertanian, dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka itu berkata, beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
Berdasarkan video yang tular di media sosial, penahanan itu dilakukan sejurus beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Menurut catatan di Facebooknya, beliau dijadual memberi keterangan di IPD Dang Wangi pada Sabtu.
“Insya-Allah, saya akan berikan kerjasama sepenuhnya. Doakan semuanya dipermudahkan. Tidak akan berganjak walau seinci dengan pendirian kita,” katanya ringkas menerusi laman sosial itu.
Difahamkan, Dr Muhamad Akmal mempunyai program di Kota Kinabalu sebelum penahanannya.