KOTA KINABALU: Penganalisis politik terkenal Dr Mohammad Agus Yusoff kini dilantik mengetuai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), lapor FMT.
Menurut laporan itu bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, beliau memulakan tugas sebagai ketua pengarah J-Kom di Jabatan Perdana Menteri hari ini.
Katanya, peranan J-Kom ialah menyampaikan dasar kerajaan kepada rakyat dengan maklumat betul dan tepat, selain mendidik dan menyedarkan rakyat saling menghormati serta bersatu bagi mengelakkan sikap ekstremisme agama dan kaum.
Beliau berkata, PRU15 memisahkan masyarakat dan pengaruh media sosial membawa banyak kesan negatif terhadap hubungan antara kaum.
“Bagi memulihkan kembali keadaan ini, kami di J-Kom akan berusaha mendidik masyarakat dengan ilmu pengetahuan dan tataetika betul supaya semangat patriotisme serta hubungan baik dan toleransi sesama rakyat akan kembali kuat dan subur.
“Bagi menggerakkan usaha ini, J-Kom akan berganding bahu dan bekerjasama rapat dengan seluruh agensi kerajaan, swasta, NGO, belia dan pemimpin masyarakat,” katanya dalam kenyataan.