BANGI: Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Masyarakat (J-Kom) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata video tular yang memaparkan dirinya adalah palsu dan mendakwa ada konspirasi untuk mensabotaj kerjaya dan reputasinya.
“Saya ingin katakan bahawa video itu suatu yang doctored, satu yang edited, saya yang diframe,” katanya pada sidang media di Bandar Baru Bangi malam tadi.
Video itu menunjukkan seorang lelaki yang kelihatan seperti Mohammad Agus berbual tidak senonoh dengan lelaki lain bernama “Wahab”.
Wahab, yang nama sebenarnya Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani turut hadir pada sidang media itu.
Pada sidang media yang sama Abdul Wahab mendakwa dia diarah oleh pegawai atasan yang digelarnya sebagai ‘ Mr. H’ untuk merakam perbualan bersama Mohammad Agus.
Wahab bagaimanapun memberitahu, isi perbualan dalam video tular yang mengandungi unsur lucah itu bukan seperti yang tersebar dan tular dalam media sosial.
Sebaliknya, katanya, video yang dirakamnya itu tidak mempunyai audio.
Katanya, pada November 2023, dia telah berjumpa Mr. H. di pejabatnya dan beberapa pertemuan diatur oleh individu berkenaan termasuk membawanya ke Pejabat Perdana Menteri dan hotel di ibu negara untuk berjumpa beberapa individu berpengaruh yang disebut Mr. H.
Jelasnya, dia mendapat maklumat bahawa Muhammad Agus terlibat dalam aktiviti tidak bermoral selain dia telah ditugaskan untuk ‘membersih’kan J-KOM dari dalam.
“Mr. H turut meyakinkan saya beliau disokong oleh beberapa individu berpengaruh yang ingin menjatuhkan Agus yang mana Mr. H menunjukkan saya perbualan WhatsApp beliau bersama beberapa individu berpengaruh yang menyokong beliau.
“Sebagai pegawai baharu di J-KOM, saya teruja melaksanakan tugasan diberi. Saya diarah untuk membuat rakaman perbualan video bersama Agus bagi mendapatkan bukti beliau di dalam aktiviti songsang dan tidak bermoral,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, dia terkejut apabila mendapati video tersebut telah disebar oleh individu bernama Che’gu Bard dalam media sosial Facebooknya.
Susulan itu, katanya, dia sedar telah diperguna dan tidak lebih sekadar kambing hitam oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan Muhammad Agus.
“Rakaman video ini telah disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab menggunakan teknik alih suara (vocie over) bagi menunjukkan seolah-olah saya dan Muhammad Agus terlibat dalam aktiviti yang jelik dan tidak bermoral.
“Sebelum ini saya menyangka saya merupakan sebahagian dari pihak yang benar yang kononnya ingin membersihkan J-KOM daripada unsur negatif, tetapi, rupanya saya telah digunakan di dalam komplot keji untuk memfitnah beliau,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, dia telah menyerahkan kepada peguam berhubung senarai individu terlibat termasuk yang memegang jawatan tinggi di dalam J-KOM selain mempertimbang mengambil tindakan undang-undang ke atas Che’gu Bard.