KOTA KINABALU: Dewan Perniagaan Muslim Sabah (DPMS) akan membuka keahlian kepada sekurang-kurangnya 10 ribu orang khususnya melibatkan penjaja, peniaga kecil dan mikro sederhana.
Pengerusi DPMS Bashir Ahmad Kassim berkata, DPMS berhasrat menjadi Dewan perniagaan yang boleh memberikan sumbangan kepada para ahlinya yang terdiri daripada pelbagai kaum beragama Islam.
Dalam pada itu, Penasihat Kehormat DPMS Ansar Maidin merayu kepada semua peniaga untuk terus memberikan sokongan kepada DPMS.
“DPMS sedia mendengar masalah para ahli pada bila-bila masa. Satu talian hotline khas akan dilancarkan supaya ahli dapat menyalurkan aduan terus kepada DPMS.
“Selain itu DPMS juga akan mengaktifkan pejabat di Lot 13, Tingkat 1, Jalan Lembaga Padi, Inanam secepat mungkin untuk menyediakan pelbagai kemudahan kepada para ahli untuk berurusan,” katanya ketika dalam satu kenyataan di sini semalam, selepas berucap pada Majlis Perasmian Penubuhan DPMS dan Mesyuarat Agung kali pertama, di sini baru-baru ini.
Katanya, DPMS juga bersedia bekerjasama dengan semua badan bukan kerajaan, dewan perniagaan dan pertubuhan lain dari semasa ke semasa untuk memastikan kepentingan ahli terjaga.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Penasihat merangkap Penasihat Hal Ehwal Agama DPMS Datuk Abdul Manap Lakariba.
Dalam mesyuarat berkenaan, Bashir telah dilantik menjadi Pengerusi DPMS, disertai Darul Nazli Dahalan sebagai Timbalan Pengerusi DPMS. Pengerusi Kongres India Muslim Malaysia Sabah Baree Habeeb pula dilantik sebagai Naib Pengerusi DPMS. – Utusan Borneo
Foto: FB DPMS