DPMS Berhasrat Bina Kilang OEM Di Sabah

DPMS-TYT.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Dewan Perniagaan Muslim Sabah (DPMS) berhasrat membina Kilang Original Equipment Manufacturer (OEM) di Sabah.

Cadangan tersebut bertujuan menyokong perkembangan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) mengetengahkan produk halal.

Demikian menurut Penasihat Hal Ehwal Ekonomi Masyarakat DPMS, Datuk Dr Abdul Sani Yahmin.

“Fokus kami adalah untuk menaikkan martabat IKS sekali gus membantu kerajaan mengembangkan ekonomi berdasarkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya ketika ditemui media semasa kunjungan hormat DPMS kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Dr Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu pada Rabu.

Selain itu, DPMS juga dalam rangka mengusahakan ladang ternakan secara berkelompok dan sistematik bagi membantu penawaran bekalan makanan serta mengurangkan kebergantungan bahan import yang memberi kesan kepada kenaikan harga keperluan asas tersebut.

“Kita menyahut seruan kerajaan dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan perlunya ada food security, dan ini menjadi fokus utama DPMS.

“Kebanyakan ternakan seperti lembu dan kambing adalah bahan makanan import dan tidak mencukupi untuk pasaran Sabah,” katanya.

Rombongan yang diketuai Pengerusi DPMS Abdul Baree Habeeb itu turut menyatakan hasrat ingin membina sebuah masjid di Pekan Menggatal. – JaPen Sabah/Warta Oriental

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top