KOTA KINABALU: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mengesa agar kerajaan membenarkan penyambungan moratorium secara automatik sehingga Disember ini kepada usahawan khususnya, Perusahaan Kecil dan sederhana (PKS) di Sabah, tanpa perlu memohon di institusi perbankan.
Yang Dipertua DPMM Sabah Datuk Awang Sham Amit berkata kerajaan melalui Kementerian Kewangan juga perlu memastikan semua institusi perbankan dan syarikat pemberi pinjaman kewangan berlesen mematuhi arahan berkenaan.
“Pemberian penyambungan terus moratorium pembayaran pinjaman sehingga Disember 2020 sudah pasti memberikan kelegaan kepada PKS yang terjejas teruk dengan penutupan premis perniagaan dan terpaksa menanggung kos perbelanjaan bulanan dengan pendapatan yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Awang Sham berkata saranan oleh DPMM itu perlu diberi perhatian kerana kes COVID-19 di Sabah meningkat secara mendadak dan sebanyak 12 daerah di Sabah telah diisytiharkan sebagai zon merah dan kini berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“DPMM Sabah menyambut baik pengumuman yang dibuat Perdana Menteri untuk memberikan lanjutan moratorium secara bersasar selama tiga bulan kepada individu yang terjejas akibat penularan COVID-19 dengan membuat permohonan dengan institusi perbankan.
“Namun, kita mencadangkan agar penyambungan terus moratorium itu dapat dilaksanakan tanpa memohon khususnya kepada PKS di Sabah,” tambahnya.
— BERNAMA