Double Six: ‘Tak lengkap Jika Australia Tak Dedahkan Laporan’

yong-teck-lee.jpg

DSP Yong Teck Lee

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pendedahan terhadap nahas udara ‘Double Six’ di Sembulan 47 tahun lalu yang mengorbankan 11 orang termasuk ketua menteri Sabah tidak lengkap jika Australia juga tidak berbuat demikian.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee, berkata kerajaan Australia sebelum ini pernah menyatakan penahanan laporan itu disebabkan Malaysia belum mendedahkan laporan akhir berhubung kes itu.

Katanya, Australia juga mengemukakan alasan mengenai kemungkinan pendedahan laporan itu boleh menjejaskan hubungan antarabangsa Komanwel dengan negara berkenaan.

“Arkib Negara Australia menamakan laporan itu sebagai Accident Malaysia Nomad Aircraft 9M-ATZ on 6 June 1976.

“Dalam dua balasan kepada wakil saya bertarikh 14 Mac 2012, Arkib Negara Australia menyatakan bahawa rekod mereka mengandungi butiran teknikal yang boleh memberi kesan kepada hubungan semasa Komanwel (Australia) dengan kerajaan negara asing.

“Dalam kes ini, negara asing itu bermakna Malaysia dan bukan yang lain,” katanya dalam kenyataan, yang dipetik BHarian semalam.

Teck Lee yang juga Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) adalah antara pemimpin negeri yang sering menyuarakan desakan agar laporan penuh siasatan kes Tragedi Double Six didedahkan kepada umum.

Mengulas lanjut, beliau berkata kedua-dua laporan Malaysia dan Australia berhubung nahas itu mesti diterbitkan sepenuhnya.

“Ini kerana Arkib Negara Australia juga mendedahkan bahawa bahagian tertentu teks telah dihapuskan atau dipadamkan.

“Balasan daripada Arkib Negara Australia mendedahkan bahawa sejumlah 110 folio ditahan daripada diterbitkan. Setiap folio mengandungi lebih daripada satu halaman.

“Hanya pelepasan laporan penuh di Malaysia dan Australia boleh menutup babak sejarah Sabah yang amat menyakitkan ini,” katanya.

Australia terbabit dalam siasatan kemalangan pesawat jenis GAF – Nomad yang terhempas di perairan Sembulan, di sini, pada 6 Jun 1976 dan mengorbankan 11 individu termasuk Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Mohd Fuad Stephen.

Siasatan Australia dalam kes berkenaan berikutan pesawat yang dikendalikan syarikat penerbangan Sabah Air itu adalah buatan negara berkenaan.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan Kabinet Persekutuan untuk menyahklasifikasikan laporan akhir siasatan nahas berkenaan yang dijangka didedahkan minggu depan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top