SANDAKAN: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Sabah akan melaksanakan Banci Pertanian 2024 yang bermula dari 7 Julai hingga Oktober ini, dan memohon kerjasama masyarakat untuk menjayakan banci tersebut yang akan dilaksanakan secara serentak di seluruh negara.
Pengarah DOSM Sabah, Muhammad Amri Idris, menekankan bahawa pelaksanaan banci ini adalah penting untuk memastikan kelangsungan keterjaminan makanan serta kesejahteraan rakyat di Sabah.
“Harapan saya kepada semua atau kita punya responden lah supaya memberi kerjasama kepada pembanci kita yang datang ke rumah supaya memberi kerjasama dan maklumat yang tepat terbaik. Dengan harapan supaya maklumat tersebut dijadikan sebagai import kepada pekerjaan dalam kita merencanakan untuk melaksanakan dasar-dasar yang lebih bersasar dan lebih baik,” katanya.
Banci ini mempunyai empat objektif utama, iaitu mengumpul stok dan profil sektor pertanian yang merangkumi aspek ekonomi, sosial, dan alam sekitar bagi pegangan pertanian.
Muhammad Amri menggalakkan semua responden untuk memberikan kerjasama penuh kepada pembanci yang akan datang ke rumah mereka.
Beliau berkata demikian kepada pemberita RTM dalam Program Sesi Pemukiman Bersama Agensi Pertanian Peringkat Daerah Bahagian Sandakan di sini. – Nabalu News