DOSM kibar tiga bendera di puncak Gunung Kinabalu

DOSM-Kinabalu.jpg

Kredit foto: Jabatan Perangkaan Malaysia/Bernama

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berjaya mengibarkan bendera Hari Statistik Negara 2024, Sambutan Jubli Intan 75 tahun DOSM dan Banci Pertanian 2024, di puncak Gunung Kinabalu baru-baru ini.

DOSM dalam kenyataan memaklumkan pendakian diadakan sempena Jerayawara Hari Statistik Negara diketuai Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin disertai 19 pegawai jabatan itu, dan tiba di puncak pada Ahad (30 Jun).

“Pendakian kami bermula pada 29 Jun kira-kira 9.00 pagi dan sampai ke tempat penginapan untuk berehat di Laban Rata pukul 3.30 petang. Sambung pendakian pada 30 Jun pukul 2.30 pagi dan tiba di puncak 5.45 pagi. Infografik statistik sosioekonomi dan akaun satelit pelancongan Sabah turut dipamerkan di puncak itu.

“Ia juga merupakan inisiatif untuk menggalakkan lebih banyak kegiatan luar yang sihat serta memupuk daya tahan dan semangat kekentalan, untuk menghadapi pelbagai cabaran pendakian khususnya dalam kalangan peserta yang berumur antara 24 hingga 50 tahun,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan jerayawara yang diadakan itu merupakan acara pembukaan sempena sambutan Hari Statistik Negara 2024 yang disambut pada 20 Okt setiap tahun dan Ulang Tahun Jubli Intan 75 tahun Jabatan Perangkaan Malaysia.

Program itu juga diadakan sebagai aktiviti promosi pelaksanaan Banci Pertanian 2024 yang akan bermula pada 7 Julai tahun ini.

Gunung Kinabalu atau dikenali Aki Nabalu oleh penduduk tempatan mempunyai ketinggian 4,095 meter dari aras laut, dan terletak di Ranau sebuah daerah di pedalaman Sabah dengan jarak 106 kilometer arah timur dari Kota Kinabalu. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top