‘Doraemon’ Ada Misi Tersendiri Untuk Bongawan

azree.jpg
Kongsi Bersama

KIMANIS: Pertembungan dengan calon ‘gergasi’ di kerusi Bongawan tidak sesekali menggentarkan semangat anak muda ini untuk membawa pembaharuan dalam politik di Dewan Undang Negeri (Dun) itu.

Calon Parti Liberal Demoktratik (LDP), Mohd Azree Abd Ghani berkata, dia tidak melihat persaingan dengan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan dua lagi calon senior sebagai kekangan untuk mendapat sokongan daripada rakyat.

Dia yang mesra disapa ‘Doraemon’ itu berkata, walaupun baru berusia 29 tahun, agenda pembaharuan yang mahu dibawa kepada masyarakat Bongawan diyakini mampu diterjemahkan sebaik mandat diberikan kepada LDP.

“Saya mahu suara anak muda didengar khususnya menjadikan Bongawan sebagai antara lokasi tumpuan pelbagai sektor pelancongan, ekonomi dan pendidikan dalam peta Sabah dan Malaysia.

“Potensi alam semula jadi seperti gas cecair asli yang ada di Kimanis perlu dipelopori dan dimanfaatkan anak tempatan dalam melonjakkan ekonomi setempat berbanding dimanfaatkan kawasan lain.

“Bongawan yang terletak di antara Kimanis dan Membakut masih jauh ketinggalan sedangkan banyak potensi sosio-ekonomi yang boleh dioptimumkan sejak sekian lama,” katanya kepada NSTP.

Mohd Azree berkata, dia mahu membawa Bongawan keluar dari kemelut masalah infrastruktur asas seperti air, jalan raya dan elektrik agar taraf hidup rakyat sama rata dengan penduduk bandar besar.

Katanya, tidak akan timbul istilah dua darjat antara luar bandar dan bandar kerana keduanya berhak menerima suntikan pembangunan yang holistik daripada kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat.

“Sedih melihat Bongawan masih di takuk lama sedangkan daerah berhampiran menerima suntikan pembangunan yang baik.

“Jadi saya akan pastikan rancangan pembangunan jangka panjang yang drastik tapi realistik dilaksanakan sebaik mandat diberikan.

“LDP tidak menjanjikan bulan bintang namun kami akan buat apa yang kami cakap (janjikan dalam Pilihan Raya Negeri),” katanya yang juga anak jati Kampung Tengah, Bongawan.

Dalam PRN Sabah, kerusi Dun Bongawan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara LDP, Parti Cinta Sabah (PCS), Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).-hmetro

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top