KOTA KINABALU: Tindakan Dewan Rakyat menolak usul tergempar memanggil Peguam Negara memberi penjelasan berhubung keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan, dilihat membawa mesej negatif kepada rakyat.
BHarian semalam memetik Timbalan Pengerusi Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP), Datuk Dr Pamela Yong sebagai berkata, kerajaan tidak menangani kebimbangan rakyat bukanlah satu petanda yang baik.
Memandangkan Ahmad Zahid juga adalah Timbalan Perdana Menteri, katanya, beliau bimbang akan keputusan itu yang dibuat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, dan mesej serta impak negatif yang dibawa bersama.
“Ini sudah pasti akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.
“Oleh itu, adalah sangat penting untuk Ahmad Zahid dan UMNO tampil memberi penjelasan serta meyakinkan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Yong yang juga Timbalan Setiausaha Agung MCA berkata, kebanyakan individu dilihat berselindung menggunakan alasan bahawa ia adalah keputusan mahkamah dalam DNAA Ahmad Zahid.
Hingga kini, beliau berkata, masih belum ada penjelasan yang jelas dan meyakinkan berhubung perkara berkenaan.
“Kita semua mengabaikan isu yang akan memberi kesan negatif terhadap UMNO serta Barisan Nasional (BN) secara keseluruhan, mencakupi MCA, MIC dan PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) sebagai parti komponen, semua termasuk.
“Sekiranya isu seumpama ini tidak ditangani, ia akan mengurangkan kepercayaan rakyat terhadap BN, sekali gus mengheret parti MCA bersamanya,” katanya.
Terdahulu, Johari menolak usul tergempar daripada Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, untuk memanggil Peguam Negara memberi penjelasan susulan keputusan DNAA Ahmad Zahid.
Pada 4 September lalu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN, dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada 47 pertuduhan berkait dana Yayasan Akalbudi, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat itu.