TUARAN: Seorang lelaki terpaksa diusung sejauh dua kilometer setelah tergelincir dan tercedera di bahagian pinggul semasa menjalankan aktiviti gotong-royong di Kampung Sinalapak, Tamparuli, dekat sini, pagi semalam.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah memaklumkan, panggilan kecemasan diterima menerusi talian MERS 999 pada jam 10.47 pagi dan sepasukan anggota beserta jentera, diketuai Komander Operasi, PBK II Norkizan Durudin dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran bergegas ke lokasi kejadian yang terletak 35 kilometer dari BBP.
Pasukan bomba berjalan kaki sejauh dua kilometre untuk sampai ke lokasi mangsa dilaporkan tergelincir kerana tiada laluan kenderaan untuk masuk.
Setiba di lokasi, pasukan bomba memberi rawatan awal kepada mangsa yang berusia 55 tahun sebelum mengangkatnya menggunakan pengusung ke kawasan selamat.
Mangsa diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 1.10 petang. – Warta Oriental