SEMPORNA: Bekas Ketua Kampung Simunul, Ramlee Saraman yang dilaporkan menipu menyerahkan 5,000 borang ahli kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat laporan polis.
Laporan itu dibuat berdasarkan kenyataan Ketua Penerangan Warisan Bahagian Semporna Hasbullah Rauddah sebelum ini berhubung perkara itu yang telah mengaibkan dirinya serta ahli keluarganya.
Ramlee berkata, dirinya tidak pernah membuat pengumuman bahawa borang ahli yang diserahkan kepada Perdana Menteri itu berjumlah sehingga 5,000 orang, begitu juga menganggap dirinya sebagai bekas ahli Parti Warisan Sabah (WARISAN) seperti yang didakwa oleh Hasbullah.
“Jumlah borang ahli sebenar yang diserahkan pada 29 Ogos lalu adalah 2,600 sahaja dan saya pada waktu hanya mewakili bekas ahli WARISAN untuk menyerahkan borang berkenaan.
“Laporan polis itu dibuat disebabkan kenyataan Ketua Penerangan Warisan Bahagian Semporna itu membuatkan kami sekeluarga mendapat malu besar kerana ramai rakyat Malaysia yang mengutuk kami,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media dalam program ramah mesra penduduk Simunul anjuran Ketua Penerangan Bersatu Semporna, di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya Hasbullah mempunyai cukup bukti bahawa dirinya menipu Perdana Menteri sila tunjukkan dan kemukakan kepadanya.
“Beliau perlu tunjukan bukti bahawa saya pernah membuat kenyataan telah menyerahkan borang keahlian BERSATU sebanyak 5,000 kepada umum atau mana-mana pihak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Semporna Farlan Jasmen berkata, program itu juga diadakan untuk memberikan penerangan kepada penduduk kampung Simunul bahawa permasalahan notis merobohkan kediaman mereka sudah dipanjangkan kepada Perdana Menteri.
Beliau berkata, pihaknya akan membuat pembelaan berhubung permasalahan yang dihadapi oleh penduduk kampung di sini kerana sebelum ini kerajaan negeri yang diterajui WARISAN pernah menjanjikan akan mewartakannya sebagai sebuah ‘Kampung Warisan’.
“Namun sebaliknya, selepas menjadi kerajaan di negeri Sabah, bukan sahaja tidak menunaikan janjinya malah mereka mengeluarkan notis merobohkan kediaman penduduk di Kampung Simunul ini,” katanya.
Terdahulu dalam majlis yang turut dihadiri oleh wakil BERSATU Pusat Masbah Rajam telah menerima sebanyak 965 ahli baharu BERSATU daripada tujuh cawangan yang sudah dibentuk.- Utusan Borneo