Disyaki salahguna kuasa, SPRM tahan pembantu tadbir

sprm.jpg

TAWAU: Seorang penjawat awam ditahan selepas disyaki menyalah guna kuasa bagi mendapatkan dua perolehan perkhidmatan penyewaan mesin fotostat, kerja pemasangan sinki dan perpaipan berjumlah kira-kira RM40,000.

Suspek wanita berusia lingkungan 50 tahun itu bertugas di sebuah sekolah di daerah ini ditahan pada 11 pagi semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tawau.

Susulan penahanan itu, suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau bagi tujuan pertuduhan, pagi ini.

Menurut sumber, suspek disyaki menggunakan jawatannya pada tahun 2020 sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) untuk mendapatkan suapan.

“Suspek telah mempelawa sebuah syarikat bagi perkhidmatan penyewaan mesin fotostat dan copyprinter yang bernilai kira-kira RM20,000 sedangkan kerja berkenaan dilakukan oleh suspek sendiri.

“Pada tahun yang sama, suspek juga disyaki menggunakan jawatannya untuk memilih syarikat yang dimiliki oleh suaminya untuk kerja pemasangan sinki, perpaipan dan lain-lain yang juga bernilai kira-kira RM20,000,” katanya.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan kes akan dituduh mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top