Seorang wanita yang disyaki memukul suaminya hingga mati di Flat Nipah, Taman Daya di Johor Bahru semalam, direman tujuh hari hingga 22 Julai ini.
Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru, Melody Woon Sze Mun.
Harian Metro melaporkan suri rumah berusia 36 tahun itu yang berbaju putih dan berseluar lokap jingga tiba di mahkamah pada 8.45 pagi tadi.
Semalam, polis dilaporkan menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira 7.50 pagi dan siasatan awal mendapati mangsa cedera di kepala akibat diserang dengan senjata tumpul.
Media melaporkan mangsa yang dikenali sebagai Lee Ming How, 44, ditemui terbaring dalam rumah.
Polis berkata, kejadian itu turut disaksikan anak lelaki pasangan terbabit yang dipercayai berusia 11 tahun.
Pasangan itu difahamkan mempunyai seorang lagi anak, iaitu kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.
Motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis turut mengesan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan bagi membantu siasatan. – FMT