KOTA KINABALU: Diplomat dan ekspatriat termasuk tanggungan yang sedang bermastautin di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah dibenarkan masuk ke Sabah bagi tujuan lawatan sosial tanpa memerlukan Kelulusan Khas Masuk.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, bagaimanapun, golongan ini wajib memiliki pas-pas Imigresen Malaysia yang sah tempoh untuk masuk ke Sabah.
Katanya, pemegang MyPR bukan Sabah/Kad Permit Masuk/Endosmen Permit Masuk dalam pasport yang sedang bermastautin di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan juga adalah dibenarkan masuk ke Sabah bagi tujuan lawatan sosial tanpa memerlukan Kelulusan Khas Masuk.
“Golongan ini wajib mengemukakan Pasport semasa pemeriksaan imigresen di pintu-pintu masuk Sabah,” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah dalam kenyataan medianya pada Selasa.