KUALA LUMPUR: Ketua Polis Daerah Cheras Mohamed Mokhsein Mohamed Zon mengesahkan polis mengeluarkan kompaun RM10,000 terhadap seorang individu atas kesalahan melanggar SOP perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Mokhsein berkata, dalam kejadian 11 Mac lalu, Pasukan Pematuhan SOP PKPB ketika membuat pemeriksaan di sebuah kedai makan di kawasan Bukit Jalil mendapati individu berkenaan tidak mendaftarkan diri melalui aplikasi MySejahtera atau buku daftar disediakan pekedai.
“Sepertimana yang diperuntukkan dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, mana-mana individu yang melanggar SOP yang ditetapkan boleh dikompaun sebanyak RM10,000,” katanya dalam kenyataan.
Beliau pada masa sama turut menegaskan, dakwaan yang tular konon individu berkenaan mendaftar melalui mana-mana saluran, aplikasi atau dalam buku disediakan pekedai adalah tidak benar.
Terdahulu, tular di media sosial tangkap layar yang dimuat naik menunjukkan notis kompaun RM10,000 selepas individu berkenaan gagal membuat imbasan melalui aplikasi MySejahtera, sekali gus gagal mematuhi SOP PKPB.
Individu yang melanggar peraturan atau SOP ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19, akan berdepan kompaun maksimum sehingga RM10,000.
Manakala, syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan sama boleh dikenakan kompaun maksimum RM50,000.
Kadar kompaun baharu itu berkuat kuasa 11 Mac lalu, berdasarkan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021. – FMT