KOTA KINABALU: Sekumpulan penyeludup bertindak membuang karton-karton minuman keras yang dipercayai tidak bercukai ke dalam laut sebelum melarikan diri daripada polis marin dalam kejar mengejar di perairan Labuan pada malam Isnin.
Sebuah kapal polis marin sebelum itu ternampak sebuah bot dalam keadaan mencurigakan semasa membuat rondaan di Teluk Brunei kira-kira jam 8.45 malam.
Komander Polis Marin Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata mereka percaya bot itu menuju ke Sarawak dari Labuan.
“Kapal kami cuba memintas bot itu tetapi ia memecut ke arah perairan Lawas (di Sarawak), dipercaya untuk mengelak pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Menurut beliau pasukan operasi segera mengejar dan melihat beberapa individu di atas bot itu membuang barang ke dalam laut.
Ahmad berkata, bot pasukan operasi terpaksa mengelak objek yang dibuang ke laut sehingga gagal mengesan bot yang dinaiki beberapa suspek berkenaan.
Katanya, pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati, objek yang dibuang adalah 648 tin minuman keras belum bercukai yang dipercayai cuba diseludup ke Sarawak.
“Berdasarkan pasaran semasa dan cukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), semua minuman keras berkenaan dianggarkan bernilai RM6,400,” katanya.
Tambah beliau, semua rampasan itu dibawa ke Pangkalan PPM Labuan untuk tindakan selanjutnya sebelum dirujuk ke JKDM Kastam Labuan.