KOTA TINGGI: Seorang penyelia kontrak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua pertuduhan menipu rakan sekerja dengan mengatakan ahli keluarganya meninggal dunia akibat Covid-19 untuk mendapatkan derma di Kompleks Bersepadu Pengerang, Jumaat lalu.
Tertuduh, Mohd. Zahazan Zainon, 45, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurmadiana Mamat.
Tertuduh bertempat di pejabat bahagian keselamatan Kompleks Bersepadu Pengerang pada pukul 5.20 petang, 3 September lalu dengan niat menipu rakan sekerjanya.
Tertuduh memperdaya mangsa dengan memberitahu ahli keluarganya maut akibat Covid-19 sedangkan ia tidak benar sehingga mendorong mangsa memasukkan wang RM7,857 ke akaun bank tertuduh sebagai sumbangan derma.
Tertuduh juga didakwa memperdaya seorang lagi rakan sekerja pada pukul 6.34 petang, hari sama di lokasi yang sama dengan mengatakan hal sama sehingga mendorong mangsa memasukkan wang RM500 ke akaun bank tertuduh.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak lebih 10 tahun dan denda.
Normadiana menjatuhi hukuman penjara tiga tahun bermula dari tarikh tangkapan, denda RM15,000 jika tidak bayar penjara lima bulan dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama.
Bagi pertuduhan kedua, mahkamah menjatuhi hukuman setahun penjara, denda RM1,000 jika gagal bayar boleh dipenjara sebulan dan satu sebatan.
Kedua-dua hukuman penjara itu diarahkan berjalan serentak.
Terdahulu, suspek ditahan selepas disyaki menyebarkan berita palsu kononnya kehilangan 14 ahli keluarga akibat Covid-19 didapati meraih sumbangan sejumlah RM91,000. – Kosmo