Dihubungi SPRM kurang sejam selepas dedah sogokan di Parlimen: ‘Saya akan patuhi’, kata Wan Saiful

wan-saiful.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata dia akan memberi kerjasama kepada SPRM berhubung dakwaan ditawarkan habuan serta peruntukan RM1.7 juta untuk menukar sokongannya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu bekas ketua penerangan Bersatu itu mengesahkan sudah dihubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kurang sejam selepas membangkitkan dakwaan itu di sidang Dewan Rakyat tengah hari tadi.

Dalam catatan di Facebooknya Wan Saiful berkata, “Tak sampai satu jam selepas saya berucap, saya dapat mesej dari pegawai SPRM minta saya hubungi mereka. Saya akan patuhi.

“Cuma saya nak tanya apa tindakan yang akan diambil untuk menghentikan penggunaan wang rakyat sebagai umpan kepada ahli parlimen Bersatu?”

Terdahulu, ketika sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, Wan Saiful turut mendakwa dia telah hadir empat pertemuan dengan individu berbeza yang memujuknya untuk menyokong Anwar.

Selain tawaran peruntukan, dia mendakwa turut ditawarkan peruntukan untuk “Projek Mesra Rakyat”, selain tawaran untuk membatalkan pendakwaan jenayah yang dihadapinya.

Dakwaan itu mengundang kekecohan dengan ahli parlimen kerajaan menyifatkan Wan Saiful sekadar menjaja khabar angin

“Kalau anak jantan, buat laporan SPRM,” kata Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer.

Bagaimanapun Wan Saiful berkata dia tidak pelik jika dakwaan itu dinafikan oleh pihak kerajaan.

“Tak apalah, kita faham mereka terpaksa spin,” katanya lagi.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top