Digugur bukan kerana prestasi – Siti Aminah

siti-aminah.jpg

Siti Aminah

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Beaufort Datuk Siti Aminah Aching menyangkal dakwaan beliau digugurkan dari jawatan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi dalam rombakan Kabinet Persekutuan Selasa lalu kerana prestasi tidak memuaskan.

Dalam kenyataannya semalam, Siti Aminah berkata andaian pihak tertentu yang mengaitkan pengguguran namanya atas faktor prestasi adalah tidak benar, selain dibuat tanpa meneliti keadaan sebenar dirinya.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu beliau terpaksa mengambil cuti sakit sepanjang tiga bulan lalu kerana baru selesai menjalani pembedahan kedua-dua belah lutut yang menyebabkan pergerakannya terbatas.

“Bagaimanapun saya masih boleh hadir program kementerian dan mewakili menteri menjawab soalan di Dewan Rakyat, cuma untuk bergerak jauh apa lagi turun ke kawasan memang sukar,” katanya.

Siti Aminah juga berkata pengguguran beliau mungkin bertujuan memberi laluan kepada Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Saya berlapang dada menerima pengguguran ini. Bagi saya ia mungkin untuk memberikan ruang kepada Noraini selaku Ketua Wanita UMNO. Jadi kita perlu akur dan melihat hierarki dalam parti,” katanya.

Tambah beliau, pemilihan jemaah menteri, termasuk Timbalan Menteri juga adalah atas budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau akur serta menerima secara terbuka keputusan yang dibuat.

“Sayapun dari awal tidak dimaklumkan mengenai pengguguran jawatan sebagai Timbalan Menteri, namun ia adalah hak Perdana Menteri yang melantik. Kita perlu profesional dan terbuka menerima keadaan ini,” katanya.

Berikutan perkembangan terbaru itu, katanya beliau kini dapat lebih fokus di kawasan, khususnya di Parlimen Beaufort yang sebelum ini diakuinya agak terhad disebabkan kekangan tugas di Kementerian Peladangan dan Komoditi.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top